CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, June 30, 2010

POLITIK PULUN, CAKAP TIDAK SERUPA BIKIN MOTO TERBARU ANWAR

TAHU TAK...??Politik 'cakap tidak serupa bikin dan politik pulun' kini merupakan moto baru Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, Anwar pada masa ini berada dalam situasi yang amat terdesak kerana mengetahui hasrat dan impiannya ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti amat mustahil untuk dicapai.
Sehubungan itu jelas beliau, pelbagai tindakan pelik dilakukan oleh Anwar yang berorientasikan kepada kepentingan agenda peribadi dan jauh sekali untuk membela keadilan serta kebajikan rakyat seperti yang dilaungkan sebelum ini.
"Sebab itulah saya kata, politik cakap tidak serupa bikin, politik pulun iaitu sapu bersih sebelum dapat kepada pihak lain kini diamalkan secara rakus oleh Anwar," katanya kepadaUtusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas pelantikan Naib Presiden PKR, Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor bagi menggantikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Utusan Malaysia semalam melaporkan perubahan itu dilihat sebagai usaha untuk mengetepikan menteri besar kerana tidak lagi mendapat kepercayaan Anwar.
Menjelaskan lebih lanjut apa yang dimaksudkan dengan politik cakap tidak serupa bikin, Zulkifli berkata, semasa konvensyen PKR di Kota Bharu, Kelantan sebelum ini, Anwar memuji melangit kewibawaan Abdul Khalid yang kononnya amat diperlukan bagi memantapkan parti itu.
Dalam ucapannya itu, Anwar berkata, kedudukan Abdul Khalid dalam PKR Selangor adalah terjamin kerana tiada sebab musabab untuk menggantikan beliau dengan pemimpin lain.
"Tetapi tidak sampai sebulan, lain pula ceritanya. Abdul Khalid dipecat dengan alasan kononnya bagi menguatkan parti. Dulu cakap lain sekarang bertindak lain. Inilah maksud saya politik cakap tidak serupa bikin.
"Ini adalah proses biasa apabila Anwar tidak lagi sukakan seseorang. Beliau akan membuat penolakan yang sebenarnya bermaksud supaya individu berkaitan faham-faham sendiri dan berhenti.
"Perkara sama turut terjadi kepada Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang terlebih dahulu dipecat daripada mengetuai PKR Pulau Pinang sebelum dipecat terus daripada parti itu," katanya.
Mengenai 'politik pulun' pula, Zulkifli berkata, Anwar dan sekutunya memang mengetahui bahawa kekuasaan parti itu di Selangor akan berakhir pada pilihan raya umum akan datang dan sebelum terlambat mereka mengaut segala kekayaan negeri. - by utusan online
Dakwanya, Anwar sedar bahawa Abdul Khalid amat susah untuk memberikan sebarang kontrak kepada mana-mana individu yang tidak sependapat dan sehaluan dengan beliau.
"Oleh itu jalan terbaik, buang Abdul Khalid dan lantik Azmin. Agihkan segala kekayaan negeri sesama mereka sebelum terlambat. Mungkin bagi Anwar tidak salah membahagikan 'harta-harta rampasan perang'.
"Perjuangan Anwar kini bukan lagi untuk menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat. Semuanya demi agenda peribadi tetapi dikaburi atau dilapik dengan platform parti yang sudah pasti kononnya melibatkan semua ahli dan rakyat," katanya.

Tuesday, June 29, 2010

PKR SELANGOR CACAMARBA

TERUKNYA....Bercelaru dan cacamarba, itu gambaran selayaknya bagi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang kini mempunyai dua nakhoda.

Bekas Setiausaha PKR Selangor, Mohd. Nazmil Rosli berkata, adalah amat pelik apabila seorang Menteri Besar daripada sebuah parti yang menerajui kerajaan negeri tidak menjadi pengerusi struktur parti tersebut di peringkat negeri.
Menurut beliau, keadaan menjadi lebih rumit apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sememangnya Pengerusi PKR negeri, seolah-olah 'ditarik balik' kuasa yang berada di tangannya.
"Keadaan ini akan membuatkan pucuk pimpinan PKR Selangor lebih mudah bercelaru kerana mereka mempunyai dua ketua, sama ada mahu mengikut arahan ketua baru, Azmin Ali atau Abdul Khalid ?
''Tidaklah mustahil sebarang keputusan yang dibuat di peringkat PKR negeri boleh ditolak oleh kerajaan negeri yang diketuai oleh Abdul Khalid. Selesaikah kemelut mereka berdua ini?," katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas pelantikan Naib Presiden PKR, Azmin sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor bagi menggantikan Abdul Khalid yang kononnya atas permintaan Menteri Besar itu sendiri bagi menguatkan parti.
Tambah Mohd. Nazmil, pelantikan Azmin itu tetapi pada masa sama tidak pula menjejaskan kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar, jelas membuktikan bahawa DAP telah menguasai Anwar.
"Anwar hanya berani usik kedudukan Abdul Khalid dalam struktur parti sahaja tetapi tidak berani untuk menganggu gugat kedudukan beliau di peringkat kerajaan negeri kerana tunduk kepada kuasa DAP.
"Abdul Khalid lebih akrab dan mesra dengan wakil rakyat DAP berbanding pimpinan PKR Selangor terutamanya Ketua-Ketua Cabang PKR,'' katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, pelantikan Azmin akan membuatkan rakyat mempersoalkan sama ada Azmin akan melangkaui tugas Menteri Besar.
Beliau yakin konflik akan berlaku kelak kerana Abdul Khalid dan Azmin mempunyai kuasa dalam mentadbir dan berhak membuat segala keputusan untuk negeri berkenaan.
Katanya, sememangnya Menteri Besar adalah individu yang paling layak untuk memberi kata putus dalam semua perkara tetapi beliau juga perlu mendapatkan nasihat daripada Pengerusi PKR negeri.
''Senario itu lama-kelamaan akan menjadi buruk dan lebih parah lagi apabila tiada persefahaman antara kedua-dua pemimpin tersebut,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.- by utusan online

Monday, June 28, 2010

Thursday, June 24, 2010

40 ULAMA PH.D SERTAI UMNO ESOK

ALHAMDULILLAH..Seramai 40 ulama berkelulusan ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) akan menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuala Lumpur, Jumaat ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh kumpulan ulama berkenaan ketika beliau mengadakan pertemuan dengan mereka di ibu negara kelmarin.
"Saya telah mengadakan pertemuan dengan 40 ulama berkelulusan Phd itu. Mereka menyatakan hasrat untuk menyertai UMNO. Para ulama berkenaan mahu menyerahkan borang menyertai UMNO Jumaat ini kepada Perdana Menteri sendiri di Kuala Lumpur.
"Mereka menyatakan pendirian mahu berada dalam UMNO untuk terus menggerakkan dakwah. Jika UMNO silap mereka akan tegur dan jika yang baik mereka akan memuji," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Shahidan yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata, daripada 40 ulama itu, dua daripadanya adalah rakyat Perlis dan mereka adalah antara ulama terkenal di negeri ini.
"UMNO Bahagian Arau sedang berusaha untuk mendaftarkan mereka sebagai ahli UMNO di bahagian ini dan jika itu berlaku, maka mereka akan diberikan jawatan dalam dalam Biro Agama Islam," ujarnya.
Menyentuh mengenai kemungkinan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin yang disebut-sebut antara ulama terkenal yang akan menyertai UMNO Jumaat ini, Shahidan berkata, beliau memang mengalu-alukan kemasukannya jika perkara itu benar.
"Saya amat alu-alukan kemasukan mereka ke dalam UMNO. Bekas Mufti Perlis itu sama ada masuk atau tidak ke dalam UMNO, beliau adalah rakan saya," ujarnya.
Shahidan percaya, kemasukan begitu ramai ulama ke dalam UMNO amat tidak disenangi oleh sesetengah parti politik yang selama ini mendakwa hanya parti tersebut berjuang untuk menegakkan Islam.
"Apa yang pasti mereka yang akan menyertai UMNO itu nanti adalah ulama berkelulusan tinggi," jelasnya yang juga Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER). -by utusan

Tuesday, June 22, 2010

PAS PATUT MALU BESAR NIKMATI HASIL AKTIVITI HARAM

APA DAH JADI...?????Pas yang selama ini menjadi jaguh dalam isu lesen judi bola sepak mendapat malu besar hari ini apabila Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) mendedahkan Kelantan turut menikmati hasil daripada aktiviti haram.

Choo Keong yang merupakan anak jati Kelantan mendakwa, Pas hipokrit dalam isu lesen judi bola sepak apabila mengaitkan perkara tersebut dengan nilai agama sedangkan pada masa yang sama, kerajaan Pas Kelantan meluluskan 40 lesen arak.
Pendedahan tidak terduga Choo Keong semasa beliau membahaskan usul Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) menyebabkan wakil Pas seperti Khalid Abdul Samad (Pas-Shah Alam) dan Dr. Lo'lo Mohamad Ghazali (Pas-Titiwangsa) cuba untuk mematahkan hujahnya.
Bagaimanapun Lo'lo serta Khalid hanya mampu membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 (12) dan mendakwa Choo Keong cuba mengelirukan Dewan tetapi ditolak oleh Timbalan Yang Dipertuan Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee.
Kiandee ketika menolak peraturan mesyuarat tersebut menjelaskan tidak wujud unsur yang boleh menjustifikasikan wakil rakyat Bebas itu sebagai berniat untuk mengelirukan dewan.
Choo Keong turut menegaskan bahawa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah menfatwakan bahawa 'hasil haram' yang diperoleh daripada aktiviti haram seperti jual beli arak boleh digunakan untuk pembangunan negeri Kelantan.
"Ini yang saya tidak faham. Kalau Tok Guru boleh membenarkannya, mengapa ada beberapa kerat wakil rakyat Pas hari ini menentang lesen judi bola sepak? Mengapa membantah? Mengapa bersikap talam dua muka?.
"Apakah mereka tidak setuju dengan fatwa Tok Guru atau mereka lebih menjadikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kiblat mereka," katanya.
Pada ketika ini, Khalid mula membuat bising dengan mendakwa Choo Keong memang tidak faham tetapi beliau tidak diberi laluan oleh bekas wakil rakyat PKR itu untuk mencelah sebelum disusuli oleh Lo'lo.
Susulan tindakan Khalid dan Lo'lo itu, Choo Keong membacakan dua fatwa Nik Abdul Aziz yang dibuat pada 19 November 1992 dan 26 November 1994 iaitu:
"Bagi penjualan arak, ia hanya dibenarkan kepada bukan Islam sahaja kerana jika diharamkan, sudah tentu menyulitkan orang bukan Islam untuk menikmatinya.
"Kelantan menggunakan hasil cukai arak, lesen anjing dan sebagainya bagi menampung kos membuat jalan serta lain-lain projek pembangunan. Arak itu sendiri boleh diminum oleh bukan Islam, maka untuk menjaga keselamatan, kerajaan mengambil duit dari mana?"
Dalam pada itu, Choo Keong membidas amalan politik 'dua alam' Anwar yang cuba menjadi jaguh kampung dalam menentang amalan judi sedangkan beliaulah yang menghalalkan judi di Sabah semasa menjadi Menteri Kewangan suatu ketika dahulu.
"Perangainya sekarang membuktikan pendirian 'cakap tak serupa bikin'. Inilah politik matlamat menghalalkan cara. Apa sahaja yang menguntungkan beliau dari segi politik, kira beres. Kini beliau mahu jadi 'suci dalam debu', lebih putih daripada pencuci clorox (peluntur pakaian)," tegasnya. by utusan online

PERSIDANGAN TAHUNAN PERWAKILAN PUTERI UMNO BAHAGIAN MASJID TANAH 2010


Thursday, June 17, 2010

Pas jangan angkuh

UMNO Bahagian Cheras membidas tindakan Pas Kelantan yang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan segera.
Ketuanya, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, tindakan tersebut menunjukkan keangkuhan Pas Kelantan dan sekadar gimik permainan politik mereka.
“Kerajaan sebenarnya tiada masalah membubarkan Parlimen tetapi ia bukan satu keperluan dalam waktu terdekat ini,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, kenyataan Pas Kelantan itu dibuat untuk menarik perhatian pengundi dan mengaburi mata rakyat terhadap masalah dalaman yang begitu ketara dalam pakatan pembangkang.
“Walaupun kuasa membubarkan Parlimen terletak di tangan Perdana Menteri, beliau melihat sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya,” katanya.-by utusan-

Kami tahu siapa Anwar - Muhammad Zahid

Sikap berpura-pura dan 'talam dua muka' Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memberikan pelbagai kenyataan terhadap beberapa isu sememangnya sudah diketahui umum.
Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, daripada pembentukan 'Kerajaan 16 September' hingga kepada jawatan Timbalan Perdana Menteri II untuk DAP, semuanya adalah palsu untuk menutup kes liwatnya yang masih dibicarakan di mahkamah.
''Terbaru sikap berpura-pura jelas dilihat dalam isu penentangan terhadap lesen pertaruhan sukan. Walhal, ketika masih dalam Kabinet dahulu, beliau adalah penyokong kepada syarikat perjudian, Magnum Corporation Berhad (Magnum).
''Ini didedahkan sendiri oleh rakan karibnya, Datuk S. Nallakaruppan yang jelas menampakkan lagi siapa dirinya yang sebenar. Pendedahan ini bagi saya tidak memeranjatkan kerana ia sudah diketahui,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Nallakaruppan yang menyifatkan bekas rakan karibnya, Anwar tidak layak untuk bercakap soal penentangan berhubung lesen pertaruhan sukan.
Menurut Nallakaruppan yang juga Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), sepanjang bersahabat dengan Anwar selama 30 tahun, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dikenalinya sebagai 'penyokong' syarikat perjudian, Magnum Corporation Berhad (Magnum) terutama semasa berada dalam Kabinet.
Nallakaruppan mendakwa, sewaktu masih berada dalam Kabinet, Anwar sendiri beberapa kali menggunakan khidmat jet milik Magnum untuk ke luar negara.
Zahid berkata, dalam isu jawatan Timbalan Perdana Menteri II untuk DAP, Anwar kelihatan 'tidak berpijak di bumi nyata' kerana kerusi Parlimen PKR semakin berkurangan berbanding DAP.
''Sedangkan jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen pun diberikan kepadanya atas ihsan DAP.
''Kerusi Parlimen milik PKR sudah berkurangan dan saya tidak fikir DAP akan memberi laluan untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri jika DAP menguasai nanti,'' jelasnya. -by Utusan-

Friday, June 11, 2010

NEGARA MAJU TANPA ABAI KUALITI HIDUP RAKYAT

Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) akan memberi tumpuan untuk mentransformasi negara ke arah mencapai Wawasan 2020 dengan mewujudkan persekitaran kondusif bagi pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kualiti hidup rakyat.  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, justeru rancangan itu telah dirangka dengan pelbagai pendekatan baru bagi mencapai kemakmuran ekonomi dan keadilan sosial.Tegasnya, sektor swasta akan diminta mengambil peranan menerajui pertumbuhan ekonomi untuk mengumpul pelaburan sekitar RM115 bilion setahun bagi memastikan kejayaan rancangan lima tahun itu.  Perdana Menteri berkata, langkah itu merupakan satu cabaran utama ke arah menuju ekonomi berpendapatan tinggi dan meningkatkan daya saing di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran antarabangsa.by Utusan online



Tuesday, June 8, 2010

BANYAKKAN SOLAT HAJAT - PUTERI UMNO

(Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pada majlis solat hajat di Masjid Jamek Kg Baru)

Puteri UMNO menyeru ahli-ahlinya serta seluruh umat Islam agar sentiasa mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan rakyat Palestin daripada kekejaman rejim Zionis. Solat hajat menunjukkan lambang keperihatinan rakyat Malaysia terhadap nasib rakyat Palestin. 

Monday, June 7, 2010

12 Sukarelawan misi Gaza pulang dengan pengalaman berharga

SANTAI BERSAMA PUTERI CAWANGAN KG LEKOK

Program Santai ini anjuran Puteri UMNO Kg Lekok, yang diadakan di Pantai Sg. Tuang, Masjid Tanah pada  5/6/2010.  Program ini dihadiri oleh lebih seramai 20 orang ahli Puteri Caw. Kg Lekok, Ketua Puteri Bahagian Masjid Tanah (Pn. Mas Ermieyati Samsudin) & AJK Puteri Bahagian Masjid Tanah.  Santai ini bertujuan untuk merapatkan hubungan sesama ahli Puteri Cawangan Kg Lekok dan Puteri Bahagian.

Sunday, June 6, 2010

TUANKU MIZAN YAKIN KEPIMPINAN NAJIB

TUANKU MIZAN  memberikan tabik hormat pada Istiadat Mengarak Panji-Panji  Yang di-Pertuan Agong sempena  ulang tahun hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Dataran Merdeka, semalam. Turut hadir,  Tuanku Nur Zahirah,   Najib   dan isteri,  Rosmah  serta  Muhyiddin (kiri).

Agong bangga pencapaian KDNK, daya saing negara


Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah menzahirkan keyakinan bahawa kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mampu melaksanakan segala perancangan disusun dengan berkesan bagi faedah dan kegemilangan bangsa, agama serta tanah air. “Beta juga amat berbangga dengan catatan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama tahun ini pada kadar 10.1 peratus. Demikian juga, dengan kejayaan negara meningkat dari tangga ke 18 ke tangga 10 daya saing global mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Institute of Management Development," titah baginda.

Saturday, June 5, 2010

Merafak Sembah Penuh Taat Setia. Daulat Tuanku!


Hari ini 5 Jun 2010, seluruh rakyat Malaysia merafak sembah penuh taat setia ke atas Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almahrum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong yang disambut setiap Sabtu minggu pertama Jun. Rakyat menzahirkan ucapan setinggi-tinggi ucapan tahniah. Semoga Allah Lanjutkan Usia Tuanku . Daulat Tuanku!

Wednesday, June 2, 2010

'HANCUR ISRAEL'

Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (Ketua Menteri Melaka) bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan dan belia negeri Melaka melaungkan 'Hancur Israel' ketika mengadakan bantahan di hadapan World Assembly of Youth (WAY), Ayer Keroh, Melaka.